Pengabungan
Kementerian Pelajaran & Pengajian Tinggi Kini Hanya Dikenali Sebagai
Kementerian Pelajaran Sahaja
NILAI: Penggabungan
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung
akan menyeragamkan pelaksanaan dasar-dasar bagi melonjakkan mutu pendidikan
negara.
Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi penggabungan itu, semua
peringkat pendidikan akan menikmati perkongsian sumber dan kepakaran bagi
memastikan bidang pendidikan dapat diurus dengan lebih cekap seterusnya
menyumbang kepada pembangunan negara.
"Keputusan
Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menggabungkan Kementerian
Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu bumbung dengan
pelantikan seorang Menteri Kedua adalah satu keputusan tepat.
"Ia
melambangkan keprihatinan kepimpinan beliau untuk melihat bidang pendidikan di
negara kita dapat diurus dengan lebih cekap dan menyumbang secara lebih
berkesan kepada kemajuan negara," katanya semasa berucap merasmikan
sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-42 tahun 2013 yang bertemakan
'Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda' di Stadium Tertutup Nilai, di sini malam
ini.
Muhyiddin turut
mengumumkan bahawa kementerian baharu hasil gabungan dua kementerian itu akan
dikenali sebagai Kementerian Pelajaran sahaja, berbanding Kementerian Pelajaran
dan Pengajian Tinggi sebelum ini, selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri.
Muhyiddin berkata,
dengan penggabungan itu usaha-usaha transformasi pendidikan juga akan dapat
dilaksanakan dengan lebih efisien apabila kepakaran daripada semua peringkat
pendidikan dapat digembleng secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu
lonjakan berganda dalam pendidikan negara.
Sementara itu
beliau berkata, pemilihan tema 'Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda' untuk
sambutan Hari Guru tahun ini adalah amat bertepatan dengan hasrat kementerian
untuk mentransformasi sistem pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan.
Katanya, tema
tersebut merupakan cerminan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa depan
yang lebih cemerlang di negara ini dan seluruh warga pendidik wajar memahami
hasrat dan kehendak dalam PPPM dan berusaha memberikan pendidikan berkualiti
menjangkau ke seluruh lapisan pelajar.
Sejak dilancarkan
sasaran enam inisiatif untuk 100 hari gelombang pertama PPPM telah pun berjaya
dicapai.
Ini termasuk
seramai 61,000 guru Bahasa Inggeris telah diuji melalui Ujian Penempatan
Cambridge (CPT) bagi mengenal pasti tahap kemahiran dalam Bahasa Inggeris
dengan kohort pertama seramai 5,000 guru telah memulakan latihan bagi
meningkatkan lagi tahap kemahiran mereka, katanya.
Selain itu,
katanya, peningkatan kualiti guru juga dilaksanakan dengan mewujudkan 339 Rakan
Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan 1,278 Pembimbing Pakar Pembangunan
Sekolah (SISC+) yang ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah di seluruh negara
menjelang tahun depan.
Menurut beliau,
SiPartners+ dan SISC+ diwujudkan untuk mengiktiraf kepakaran guru melalui
Program Transformasi Pejabat Pelajaran Daerah yang akan membantu meningkatkan
kesedaran guru kepada amalan pengajaran yang lebih efisien di samping
pengurusan sekolah yang lebih cekap.
"Saya yakin
guru mendapat sokongan yang terbaik sehingga dapat meningkatkan kualiti sekolah
dengan pengurangan sebanyak 50 peratus sekolah dalam band 6 dan 7 di negeri
Sabah dan Kedah. Insya-Allah, menjelang tahun 2015 kita akan berjaya mencapai
sasaran sifar bagi kedua-dua band tersebut," katanya.
Bagaimana pun
beliau mengingatkan agar warga pendidik tidak mudah lalai dan leka dengan
pencapaian itu dan usaha yang berterusan perlu digiatkan bagi memastikan para
pelajar menguasai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang
berkualiti.
Katanya dalam
melaksanakan hasrat PPPM, para guru perlu memiliki satu wawasan unggul untuk
mentransformasi pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu
berinovasi untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia.
Selain itu para
guru perlu memiliki kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)meliputi pemikiran
kritikal, keupayaan berkomunikasi, kemampuan penerokaan persekitaran serta
keyakinan kendiri perlu sentiasa dijana menerusi pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang holistik, katanya.
"Bagi menilai
keberkesanan KBAT, sebanyak 30 peratus soalan dalam peperiksaan pusat seperti
UPSR, PMR, SPM dan STPM/STAM menjurus kepada elemen KBAT. Dalam kalangan murid
juga, KBAT dinilai melalui peperiksaan antarabangsa seperti TIMSS dan PISA
sesuai dengan hasrat Kementerian untuk melahirkan murid yang mampu bersaing di
peringkat global," ujar beliau.
Muhyiddin berkata
dalam menghargai jasa dan pengorbanan warga guru kerajaan telah menggariskan
beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf guru terutama berkaitan laluan
kerjaya.
Katanya, menerusi
PPPM juga, pelan untuk menaik taraf profesion keguruan akan dirangka supaya
420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi.
Selain itu, kata
Muhyiddin, untuk memastikan guru lebih fokus terhadap pengajaran dan
pembelajaran dan murid mendapat faedah semaksimum mungkin, kerajaan juga sedang
menjalankan kajian rintis di Melaka bagi menempatkan pembantu tadbir N17 di
sekolah bagi menguruskan tugas perkeranian guru data, perpustakaan dan media.
"Dapatan awal
kajian rintis menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sekiranya kajian rintis
ini berjaya, maka Insya-Allah kita akan memperluaskan khidmat sokongan pembantu
tadbir N17 ini ke semua sekolah secara berperingkat-peringkat," kata
beliau.
Dalam ucapannya
Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di daerah Lahad Datu,
Sabah yang telah menjalankan tanggungjawab dengan berani walaupun berdepan cabaran
insiden pencerobohan.
Pada majlis itu
Muhyiddin kemudiannya menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan
Kebangsaan 2013 kepada Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim dan Anugerah Tokoh Guru
Kebangsaan 2013 kepada tiga penerima iaitu Rabiah Johari, Wan Hamzah Wan Daud
dan Jacob a/l P.C Mathews.
Anugerah Tokoh Guru
Sekolah Swasta Kebangsaan 2013 diterima Datuk Freida Mohd Pilus.
Turut hadir ke
majlis itu adalah Menteri Pelajaran 2 yang baharu dilantik, Datuk Seri Idris
Jusoh dan timbalan menteri pelajaran 1 Datuk Mary Yap dan timbalan menteri
pelajaran 2, P. Kamalanathan serta Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan