Cari Blog Ini

MAHUKAN YANG TERKINI? CLICK "LIKE".

Rabu, 22 Mei 2013

Exco Negeri Sembilan Diberi Tempoh Sebulan Isytihar Harta


Exco Negeri Sembilan Diberi Tempoh Sebulan Isytihar Harta
SEREMBAN: Semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco) yang baharu dilantik pada Rabu diberi tempoh sebulan untuk mengisytiharkan harta mereka.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka semua termasuk dirinya juga perlu keluar daripada sebarang kepentingan atau jawatan dalam perniagaan jika memilikinya sebelum ini.
"Perisytiharan harta ini mesti dibuat terhadap semua yang ada, kita isytihar sahajalah. Nanti senang masa-masa depan orang tidak boleh kata sebab kita memang sudah ada (harta) pun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama exco kerajaan negeri, di sini Rabu.
Beliau berkata semua exco juga diberi tempoh dua bulan untuk menyediakan perancangan strategik berkenaan portfolio masing-masing sebelum dibentang untuk tindakan lanjut.
Katanya perancangan strategik portfolio itu bertujuan untuk memastikan setiap exco dapat menjalankan gerak kerja segera dalam mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri.
Ditanya sama ada beliau akan membuat penilaian prestasi exco-exco selepas dua tahun, Mohamad berkata kali ini pendekatan lebih tegas akan diambil iaitu mana-mana anggota exco yang tidak mencapai prestasi akan terus dipecat.
Beliau berkata anggota exco terbabit juga perlu menjaga keperibadian dan tidak melakukan sebarang perkara yang mencemarkan imej kerajaan negeri.
Pada sidang akhbar itu Mohamad berkata 14 portfolio diwujudkan bagi meneruskan dasar-dasar kerajaan negeri sebelum ini dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau sendiri selaku Menteri Besar memegang empat portfolio iaitu Kewangan dan Tanah; Hal Ehwal Agama Islam; Keselamatan dan Penerangan; dan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Luar Bandar.Portfolio lain iaitu Pertanian dan Industri Asas Tani dipegang oleh Datuk Hasim Rusdi; Perpaduan dan Integrasi Nasional (Datuk Ismail Lasim); Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga (Datuk Norhayati Omar); Pendidikan dan Kesihatan (Datuk Shamsulkahar Mohd Deli); dan Modal Insan, Belia dan Sukan (Datuk Zaifulbahri Idris).
Portfolio Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk Jalaludin Alias); Sumber Manusia, Peladangan dan Kampung Baru (L.Manickam); Pelancongan dan Kepenggunaan (Tun Hairudin Abu Bakar); Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu (Abd Razak Ab Said); dan Kemudahan Awam dan Alam Sekitar (Abu Ubaidah Redza).
Dalam pada itu, beliau berkata persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melantik Speaker dan angkat sumpah semua anggota dewan ditetapkan pada 17 Jun.
Tarikh perasmian sidang DUN bagi penggal ini pula dijangka pada 23 September bergantung kepada jadual Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir manakala 22 November pula ditetapkan sebagai tarikh sidang DUN untuk pembentangan Belanjawan 2014. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan