Dakwat Kekal Terus
Diguna Pada PRU-14 Dengan Beberapa Penambahbaikan - SPR
KUALA LUPUR: Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya
umum ke-14 (PRU14) dengan melaksanakan beberapa penambahbaikan terutama dari
segi kualiti dakwat.
Timbalan Pengerusi
SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata penggunaan dakwat kekal itu akan tetap
dilaksanakan kerana ia diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen dan
dimaktubkan dalam undang-undang pilihan raya.
"Kami akan
kaji ramuan dakwat itu, serta meletakkan satu standard terhadap kualiti dakwat
itu," katanya kepada pemberita selepas rancangan bual bicara Hello
Malaysia yang dikelolakan Bernama TV, malam Isnin.
Beliau berkata
tindakan sesetengah pihak yang cuba memperbesarkan isu penggunaan dakwat kekal
yang didakwa mudah luntur selepas dicalit tidak lebih kepada motif politik
semata-mata.
Wan Ahmad berkata
penggunaan dakwat itu hanyalah untuk menghalang pengundi mengundi dua kali,
namun jika dakwat di jari mereka hilang, ia tidak bermakna mereka dapat
mengundi sekali lagi kerana asas utama yang dilihat oleh SPR ialah nama
pengundi dalam daftar pemilih.
"Masyarakat
perlu faham kami (SPR) baru pertama kali menggunakan dakwat kekal dan sudah
tentu terdapat sedikit kelemahan...kami telah lantik satu syarikat terkenal
untuk menghasilkan dakwat untuk PRU13 yang mana syarikat itu turut menghasilkan
dakwat kekal di negara-negara lain. Mungkin ada kelemahan daripada syarikat itu
sendiri yang menyimpan dakwat terlalu lama.
"Kami telah
tempah 250,000 botol dakwat kekal pada PRU ini dan dua bulan sebelum pilihan
raya umum diadakan kami simpan di lokap-lokap balai polis daerah untuk
memastikan ia selamat. "Mungkin akibat disimpan terlalu lama kandungan
dakwat telah menurun dan menjadi cair," katanya.
Beliau turut
mengkritik sesetengah pihak yang membasuh dakwat kekal dengan menggunakan bahan
peluntur dan seterusnya memuat naik di laman sosial bagi tujuan menjatuhkan
kredibiliti SPR.
Mengenai gangguan
bekalan elektrik semasa proses pengiraan undi, Wan Ahmad berkata tiada insiden
sedemikian berlaku kerana beliau telah mengesahkan dengan semua Pegawai
Pengurus (RO).
"Bila saya
dapat maklumat ada pihak mengatakan berlaku masalah bekalan elektrik, saya
terus telefon semua RO setiap negeri untuk pengesahan maklumat," katanya.
Semalam Tenaga
Nasional Berhad (TNB) turut menjelaskan tiada gangguan bekalan elektrik berlaku
semasa proses pengiraan undi pada PRU-13 Ahad lepas. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan