ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Pauh, Azlan Man
mengangkat sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau, di sini pada Selasa.
Azlan, 55, mengangkat sumpah di
hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pukul 10 pagi.
Turut berangkat pada majlis itu
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama bekas
Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis
Datuk Azizan Hamid dan Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron.
Azlan yang merupakan bekas
timbalan ketua pengarah Biro Pengaduan Awam memenangi kerusi dewan undangan
negeri Pauh pada pilihan raya umum ke-13 selepas menewaskan Ketua Dewan Ulama
PAS Idris Yaacob dengan majoriti 1,382 undi.
Berkelulusan Sarjana Ekonomi
Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, Azlan memulakan tugas
sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul
Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di
Kementerian Luar pada 1992.
Beliau juga pernah menjadi
Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika
Syarikat pada 1999.
Pada 2003, anak kelahiran Arau
itu menjadi setiausaha bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar
dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah BPA sehingga
bersara untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan