Ketepi Fahaman
Politik Majukan Kedah - Mukhriz
JERLUN: Rakyat Kedah
diseru supaya melupakan sengketa yang mungkin tercetus semasa tempoh kempen
pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) untuk sama-sama membangunkan negeri.
Menteri Besar,
Datuk Mukhriz Tun Mahathir meminta mereka agar mengenepikan fahaman politik
masing-masing bagi berbuat demikian.
"Pelbagai polemik
dan pecah belah dalam masyarakat telah berlaku sebelum ini kerana politik telah
menjadi perkara harian yang sering dibincangkan sama ada di kalangan rakyat
mahupun di media massa.
"Saya pohon
supaya letak tepi buat sementara isu politik supaya kita dapat bersama-sama
pulihkan keadaan dan waktu ini kita gunakan untuk pupuk perpaduan tak kira apa
juga fahaman politik.
"Kini masanya
untuk hulurkan tangan persaudaraan untuk kita bersatu. Negara membangun apabila
rakyat majmuk pelbagai kaum bersatu dan kerajaan akan dapat jalankan tugas
dengan penuh amanah tanpa perlu bimbang apa-apa," katanya ketika berucap
pada majlis kesyukuran sempena kemenangan Barisan Nasional pada PRU-13, di
sini, Jumaat.
Mukhriz berkata
untuk membawa Kedah ke tahap yang sama dengan negeri maju yang lain memerlukan
kerjasama semua pihak bagi memudahkan projek pembangunan di negeri ini
dilaksanakan.
Beliau berkata
Kedah sudah agak lama tercicir dari arus pembangunan negara, justeru banyak
perkara perlu dilakukan bagi mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negeri yang
maju seiring dengan hasrat kerajaan pusat.
"Saya mohon
rakan-rakan daripada parti pembangkang bersama bangunkan negeri ini, kita
lakukan yang terbaik dan kerjasama semua pihak amat diperlukan.
"Mungkin ada
yang akan berfikir bahawa perkara ini adalah mustahil, Kedah takkan maju,
takkan mampu majukan Kedah, tapi percayalah tidak ada yang mustahil selagi kita
fikirkan inilah masanya untuk melakar masa depan yang lebih cerah,"
katanya.
Mukhriz yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam memohon maaf secara terbuka kepada
semua pihak sekiranya terdapat kekasaran yang dilakukan tanpa disedarinya
terutama sepanjang tempoh berkempen.
Lebih 5,000 rakyat
di sekitar kawasan Parlimen Jerlun khususnya Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam
menghadiri majlis tersebut yang diadakan khas untuk rakyat di DUN berkenaan.
Yang turut hadir
isteri Mukhriz, Datin Norzieta Zakaria, Anggota Parlimen Jerlun Datuk Othman
Aziz dan Adun Kota Siputeh Datuk Abu Hasan Sarif. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan