Cari Blog Ini

MAHUKAN YANG TERKINI? CLICK "LIKE".

Selasa, 7 Mei 2013

Ahmad Yakob Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Baharu Kelantan


Ahmad Yakob Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Baharu Kelantan
KOTA BAHARU, 6 Mei (Bernama) -- Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian di sini, petang Isnin.

Ahmad, 63, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan, menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyandang jawatan menteri besar selama 23 tahun.

Anggota DUN Panchor Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu bermula pada 6 petang.

Turut hadir pada istiadat itu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, Mufti negeri Kelantan Datuk Shukri Mohamad dan Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Sembilan Adun turut mengangkat sumpah di hadapan Sultan Muhammad V sebagai anggota Exco Kerajaan negeri.

Mereka ialah Datuk Anuar Tan Abdullah (DUN Kota Lama), Datuk Md Anizam Ab Rahman (Kemahang), Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Meranti), Datuk Abdul Fattah Mahmood (Bukit Panau), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Wakaf Baharu), Datuk Mohamed Fadzli Hassan (Temangan), Hanifa Ahmad (Pengkalan Pasir), Dr Ramli Mamat (Bunut Payong) dan Mumtaz Md Nawi (Demit).

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), PAS menguasai 32 kerusi DUN berbanding Barisan Nasional (BN) yang menang di 12 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu kerusi.

Ahmad, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS I Kelantan, menang kerusi DUN Pasir Pekan dengan mengalahkan calon BN Nik Noriza Nik Salleh dengan majoriti 5,644 undi.

Ahmad, mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Berangan sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Pengajian Islam Jalan Bayam, Kota Baharu.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan (PPTIK) Nilam Puri sebelum menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Syariah.

Sekembalinya dari Mesir, Ahmad yang memperoleh Diploma Pendidikan di Universiti 'Ain Syam, Kaherah dalam jurusan Bahasa Arab, bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Datuk Bentara Dalam, Segamat Johor.

Kerjaya politik Ahmad bermula pada 1995 apabila bertanding dalam pilihan raya umum 1995 di DUN Pasir Pekan sebelum dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia pada 17 Mei 1987.

Selepas pilihan raya 1999, Ahmad dilantik sebagai Exco memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Sains Teknologi dan Alam Sekitar sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar selepas berjaya mengekalkan kerusi DUN Pasir Pekan pada pilihan raya umum 2004.

Sementara itu, Nik Mohd Amar berjaya mengekalkan kerusi DUN Panchor selepas mengalahkan calon BN Che Rosli Hassan dengan majoriti 5,036 undi pada PRU13.

Nik Mohd Amar, 53, yang pernah menjadi Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan, mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Majlis sebelum melanjutkan pelajaran ke SMU (A) Tarbiah Mardhiah dan Maahad Muhammadi (Lelaki) Kota Baharu.

Nik Mohd Amar memperoleh Sarjana Muda Pengajian Islam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Falsafah Pengajian Teologi di Universiti Birmingham, United Kingdom.

Sebelum bergiat dalam bidang politik, Nik Mohd Amar pernah menjawat jawatan sebagai Pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan