Nasib pelajar cemerlang
Shu Chi bersama Koo Ham pada sidang akhbar mengenai masalah dihadapinya.
Nasib pelajar cemerlang
Shu Chi menunjukkan slip SPM miliknya yang menunjukkan keputusan cemerlang dan melayakkannya untuk mendapat tempat di IPT.
SITIAWAN - Seorang pelajar yang mendapat keputusan 11 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu mendakwa dirinya tidak mendapat sebarang tawaran mana-mana institusi pengajian tinggi  (IPT) awam dan biasiswa.

Tan Shu Chi, 18, berkata, dia adalah pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist, Sitiawan dalam SPM 2012.

Menurutnya,  dia mendapat keputusan 8A +, 2A dan 1A- dan melayakkan dirinya untuk menjadi pelajar terbaik di sekolah.

“Namun apa yang menyedihkan, sehingga sekarang saya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada mana-mana institusi untuk menyambung pelajaran ataupun biasiswa,” katanya.

Shu Chi berkata, dia  membuat permohonan untuk memasuki Matrikulasi dan juga biasiswa daripada pelbagai institusi.

“Saya telah memohon dengan JPA, Maybank, Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sebagainya untuk mendapatkan kemudahan biasiswa namun kesemuanya mendukacitakan.

“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan rakan-rakan saya yang mendapat keputusan lebih rendah daripada saya mendapat pelbagai tawaran malahan mereka boleh membuat pilihan,” katanya.

Shu Chi yang meminati bidang perakaunan berkata, dia telah penat menunggu selama setengah tahun dan kini  terpaksa memilih untuk memasuki institusi swasta.

“Keluarga saya juga bukan datang dari golongan berada, tetapi saya terpaksa memilih untuk memasuki institusi swasta bagi melanjutkan pelajaran.

“Saya amat berharap jika ada pihak yang boleh mempertimbangkan perkara brkenaan dengan memberikan tawaran biasiswa kepada saya bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, pada tahun ini pihaknya telah mendapat dua aduan berkaitan perkara tersebut.

“Mereka mendapat keputusan cemerlang namun tidak mendapat tempat di di universiti. Apabila keadaan ini berlaku menunjukkan sistem meritokrasi yang dikatakan tidak digunakan sebaik mungkin.

“Setiap tahun pasti ada pelajar yang mengadu mengenai perkara itu kerana pasti ada keciciran yang berlaku,” katanya.

Kata beliau, menjadi satu kerugian kepada negara apabila pelajar-pelajar cemerlang itu melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Kepakaran yang sepatutnya digunakan di dalam negara telah hilang begitu sahaja kerana mereka akan memilih untuk berkhidmat di luar negara,” katanya.

Katanya, pihak berkenaan harus melihat semula masalah berkenaan dan memberi peluang kepada pelajar cemerlang berkenaan untuk mendapatkan biasiswa bagi meneruskan pelajaran mereka. - sinar harian