Cari Blog Ini

MAHUKAN YANG TERKINI? CLICK "LIKE".

Selasa, 25 Jun 2013

Pembenihan awan cara baru diperkenal


SUBANG 24 Jan. - Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca memperkenalkan kaedah baru pembenihan awan menerusi teknik hygroscopic flare yang mampu menghasilkan tambahan hujan antara 30 hingga 60 peratus berbanding cara sebelum ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Law Heing Ding berkata, ia dilakukan dengan menggunakan helikopter menembak awan dengan roket khas yang terkandung di dalamnya partikel garam kering untuk merangsang pembentukan titisan air hujan.
Kata beliau, kaedah konvensional pembenihan awan yang pernah dicuba di Malaysia sebelum ini menggunakan pesawat bersayap tetap terbang ke dalam awan bagi membolehkannya menyembur larutan air garam.
''Teknologi dari Afrika Selatan ini mudah, murah dan berkesan untuk menghasilkan tambahan hujan dari awan kumulus.
''Pujian harus diberikan kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan usaha ini,'' katanya kepada pemberita di Kompleks Airod di sini, hari ini.
Terdahulu beliau diberi taklimat ringkas oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, Dr. Lim Joo Tick dan Pengarah Unit Perubahan Cuaca, Tung Nam Ping mengenai teknik berkenaan.
Operasi pembenihan awan ini menggunakan helikopter Mi-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat di bawah kendalian juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia dengan kerjasama Airod Sdn. Bhd. (Airod).
Law berkata, kaedah baru itu telah dicuba bulan lepas dengan kos sebanyak RM500,000 termasuk perbelanjaan membeli peralatan dan khidmat nasihat pakar dari Afrika Selatan.
Jabatan berkenaan akan menggunakan kaedah itu di Empangan Temenggor, Perak dan Empangan Pedu, Kedah bagi memastikan bekalan air di dua empangan berkenaan mencukupi untuk kegunaan harian penduduk dan bagi pengairan sawah padi.
Law memberitahu, Malaysia adalah negara pertama di dunia yang mencuba kaedah hygroscopic flare menggunakan helikopter yang berasaskan kepada kaedah yang telah dicuba di Afrika Selatan.
''Perbezaan dengan kaedah di Afrika Selatan ialah di sana mereka menggunakan pesawat bersayap tetap sedangkan di Malaysia kita menggunakan helikopter jenis Mi-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat,'' katanya.
Beliau menambah, kementeriannya akan mengemukakan satu kertas kerja kepada kabinet mengenai cadangan pembelian sebuah helikopter berharga RM20 juta yang akan digunakan khusus untuk aktiviti pembenihan awan.
Dalam pada itu, Tung berkata, beberapa siri ujian telah diadakan antara 10 hingga 23 Disember lalu dan berjaya menghasilkan pertambahan hujan.
Tambahnya, sebanyak dua ujian dilakukan iaitu di Kuala Selangor dan Hulu Bernam telah menghasilkan peningkatan curahan hujan dan beberapa siri ujian akan diadakan dari semasa ke semasa. - utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan