Cari Blog Ini

MAHUKAN YANG TERKINI? CLICK "LIKE".

Isnin, 29 April 2013

Tips mendidik anak di alam remaja.


Tips mendidik anak di alam remaja.

Menjadi ibu bapa bukan tugas mudah. Tanggung jawab ibu bapa bukan sekadar memberi makan minum dan menyediakan tempat berteduh. Lebih dari itu, ibu bapa wajib menyediakan siasah anak-anak sejak dari kecil agar masa hadapan anak-anak terjamin bukan sahaja di masa hadapan malahan sehingga membawa ke alam akhirat.

Apapun, apa yang penting ialah ibu bapa perlu bijak memainkan peranan sesuai dengan tahap usia anak-anak.
Dalam 10-11 tahun pertama usia anak-anak, ibubapa banyak memainkan peranan sebagai seorang pengurus (manager). Pada tahap ini, tugas ibubapa banyak berkisar dalam menguruskan segala hal-hal anak-anak berkaitan makan pakai, tingkahlaku, pembelajaran awal dan sebagainya.

Ibubapa selaku pengurus selalunya mendapat sepenuh kepercayaan dari anak-anak di mana ibubapa jugalah yang membuat keputusan tentang penglibatan anak-anak di dalam aktiviti sekolah, siapa yang patut menjadi kawan anak-anak, malahan sehingga kepada hal-ehawal penampilan mereka. Selalunya pada peringkat ini anak-anak memberi sepenuh kepercayaan di atas segala pilihan dan keputusan dari ibubapa mereka.
Pada peringkat ini hukuman ataupun denda yang diberikan oleh ibubapa boleh diterima oleh mereka asalkan ianya berpatutan dan berpada-pada.

Apabila anak-anak memasuki alam remaja senario tersebut akan berubah sedikit demi sedikit. Anak-anak lebih gemar ibubapa menjadi selaku penasihat (consultant) sahaja.

Mereka memerlukan kebebasan untuk melakukan banyak pekara dan yang paling mereka mahukan adalah mereka bebas bertindak sebagai pembuat keputusan. Pada peringkat inilah, ibubapa diberi dua pilihan samada akan dipecat oleh anak-anak dari menjadi seorang pengurus atapun ibubapa dengan rela hati melepaskan jawatan tersebut.
Pada peringkat ini, anak-anak lebih gemar ibubapa bertindak selaku seorang penasihat yang melihat dan memantau aktiviti dan kehidupan anak-anak dari jauh. Bukanlah bermakna ibubapa dan anak-anak perlu tinggal berjauhan pula. Pada masa ini, segala tindakan ibubapa ibarat ‘menarik rambut di dalam tepung’ – perlu ada ketegasan tetapi di masa yang sama kena berlembut. Kala ini ibu bapa perlu banyak menggunakan budibicara dan dapat berkomunikasi dengan baik dengan anak remaja.

Jika tidak berhati-hati, anak-anak akan mula memberontak , menjadi keras hati, degil dan mulalah bibit-bibit pergaduhan antara anak dan ibubapa terjadi.

Kepercayaan anak-anak terhadap ibubapa yang dipupuk semenjak umur mereka kecil lagi banyak membantu dalam proses ini. Biarkan mereka membuat keputusan sendiri tetapi ibubapa sebagai perunding berhak mengutarakan pendapat mereka. Mereka akan lebih menghargai kita kerana didalam hati anak remaja , mereka memang memerlukan ibubapa sentiasa bersama mereka dalam setiap hal kehidupan.
Cuma kedua-dua belah pihak perlu bijak berurusan antara satu sama lain. Dengan cara begini hubungan anak remaja dan ibubapa akan kekal ‘connected’ selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan