Cari Blog Ini

MAHUKAN YANG TERKINI? CLICK "LIKE".

Selasa, 4 Jun 2013

Salji Dibumi Madinah - Antara Tanda-Tanda Besar Kiamat




Salji di Madinah antara tanda-tanda kiamat


Ada tiga tanda fenomena dari tanda-tanda Kiamat yang perlu di ambil perhatian sekarang ini oleh umat manusia pada umumnya dan umat Islam khasnya. Dua di antara tiga tanda itu termasuk dalam kategori tanda-tanda besar Kiamat. Satu lagi termasuk di dalam tanda besar, namun ada pula yang menyebutnya sebagai tanda penghubung antara tanda-tanda kecil Kiamat dengan tanda-tanda besar Kiamat.

Tanda penghubung antara tanda-tanda kecil Kiamat dengan tanda-tanda besar Kiamat ialah diutusnya Imam Mahdi. Imam Mahdi merupakan tanda Kiamat yang menghubungkan antara tanda-tanda kecil Kiamat dengan tanda-tanda besar Kiamat.

Masih ramai yang belum menyadari bahawa keadaan dunia sekarang ini ialah dalam situasi dimana hampir semua tanda-tanda kecil Kiamat telah muncul. Cuba perhatikan beberapa contoh tanda-tanda kecil Kiamat di bawah ini:
  1. Perceraian banyak terjadi
  2. Banyak terjadi kematian mendadak (tiba-tiba)
  3. Banyak Quran diberikan hiasan
  4. Masjid-masjid dibangunkan dengan megah
  5. Perjanjian dan transaksi tidak dipatuhi
  6. Berbagai peralatan muzik dimainkan
  7. Berbagai jenis khamr (Arak) diminum manusia
  8. Perzinaan dilakukan terang-terangan
  9. Para pengkhianat diberi kepercayaan (menjadi pemimpin)
  10. Orang yang amanah dianggap pengkhianat
  11. Tersebarnya Pena (banyak buku diterbitkan)
  12. Pasar-pasar (Mall, Plaza, Supermarket) Berdekatan
  13. Penumpahan darah dianggap perkara yang kecil
  14. Makan riba
Jadi kalau kita teliti contoh-contoh di atas, jelas kita sudah menjumpai ciri-ciri tersebut di zaman ini. Apabila kita membuka kitab para Ulama yang menghimpun hadits-hadits mengenai tanda-tanda kecil Kiamat, lalu kita baca satu per satu hadits-hadits tersebut hampir pasti setiap satu hadits selesai kita baca kita akan berkata di dalam hati: “Wah, yang ini sudah..!”

Jika tanda-tanda kecil Kiamat sudah hampir muncul kesemuanya, ini bermaksud dunia sekarang ini sedang menunggu kedatangan tanda-tanda besar Kiamat. Oleh itu, dalam waktu terdekat ini kita semua harus bersiap-siap untuk menyambut kedatangan tanda penghubung antara tanda-tanda kecil Kiamat dengan tanda-tanda besar Kiamat, iaitu diutusnya Imam Mahdi.

أُبَشِّرُكُمْ بِالْمَهْدِيِّ يُبْعَثُ فِي أُمَّتِي عَلَى اخْتِلَافٍ مِنْ النَّاسِ
وَزَلَازِلَ فَيَمْلَأُ الْأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلًا كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا

“Aku khabarkan berita gembira mengenai Al-Mahdi yang diutus Allah ke tengah ummatku ketika banyak terjadi perselisihan antara manusia dan gempa-gempa. Ia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kejujuran sebagaimana sebelumnya dipenuhi dengan kesewenang-wenangan dan kezaliman.” 
(HR Ahmad)

Muhammad s.a.w mengisyaratkan adanya dua tanda menjelang perutusan Imam Mahdi di tengah ummat Islam. Pertama ialah banyak terjadi perselisihan antara manusia dan kedua terjadinya banayak gempa bumi. Subhaanallah. Jika kita perhatikan keadaan dunia ketika ini, banyak sangat berlaku pergaduhan dan peperangan. Gempa bumi juga silih berganti di serata tempat.

Kedatangan Imam Mahdi merupakan tanda Akhir Zaman yang jelas-jelas harus di ambil berat oleh kita dalam waktu terdekat ini. Kita diperintahkan untuk segera berbai’at dan bergabung ke dalam barisannya sebab episod-episod berikutnya merupakan rangkaian perang yang dipimpin Imam Mahdi untuk menakluk negara-negara yang dipimpin oleh para Mulkan Jabriyyan (Para penguasa yang mengabaikan kehendak Allah dan RasulNya).

فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَبَايِعُوهُ وَلَوْ حَبْوًا عَلَى الثَّلْجِ فَإِنَّهُ خَلِيفَةُ اللَّهِ الْمَهْدِيُّ

“Ketika kamu melihatnya (Imam Mahdi) maka ber-bai’at-lah dengannya walaupun harus merangkak-rangkak di atas salji kerana sesungguhnya dia adalah Khalifatullah Al-Mahdi.” 
(HR Ibnu Majah)

Imam Mahdi akan mengibarkan panji-panji Al-Jihad Fi Sabilillah untuk memerdekakan negeri-negeri yang selama ini dikuasai oleh para Mulkan Jabriyyan. Beliau akan mengetuai pembebasab dunia dari penghambaan manusia kepada hanya untuk memperhambakan diri kepada Allah semata-mata. Beliau akan memastikan bahawa dunia diisi dengan sistem dan peradaban yang mencerminkan kalimatthoyyibah Laa ilaha illAllah Muhammadur Rasulullah dari timur hingga ke barat.

Ghazawaat (perang-perang) tersebut akan dimulai dari jazirah Arab kemudian Persia (Iran) kemudian Rom (Eropah dan Amerika) kemudian terakhir melawan pasukan Yahudi yang dipimpin langsung oleh puncak fitnah, iaitu Dajjal. Pasukan Imam Mahdi Insya Allah akan diizinkan Allah untuk meraih kemenangan dalam peperangan tersebut.

تَغْزُونَ جَزِيرَةَ الْعَرَبِ فَيَفْتَحُهَا اللَّهُ ثُمَّ فَارِسَ فَيَفْتَحُهَا اللَّهُ
ثُمَّ تَغْزُونَ الرُّومَ فَيَفْتَحُهَا اللَّهُ ثُمَّ تَغْزُونَ الدَّجَّالَ فَيَفْتَحُهُ اللَّهُ

“Kamu akan perangi jazirah Arab dan Allah akan beri kemenangan kamu keatasnya, kemudian kamu akan menghadapi Persia dan Allah akan beri kemenangan kamu keatasnya, kemudian kamu akan perangi Rom dan Allah akan beri kemenangan kamu keatasnya, kemudian kamu akan perangi Dajjal dan Allah akan beri kemenangan kamu keatasnya.” 
(HR Muslim)

Lalu Nabiyullah Isa ’alihis-salaam akan turun dari langit dihantar oleh dua malaikat di kanan dan kirinya. Menurut hadits-hadits yang ada, Nabi Isa putra Maryam ’alihis-salaam akan datang sesudah pasukan Imam Mahdi selesai memerangi pasukan Rom menjelang menghadapi perang berikutnya melawan pasukan Dajjal. Pada waktu itulah Nabi Isa a.s akan Allah takdirkan turun ke muka bumi untuk bergabung ke dalam pasukan Imam Mahdi dan membunuh Dajjal dengan izin Allah.

Ketika Imam Mahdi dan pasukannya mendengar khabar bahawa Dajjal telah muncul dan bermerajalela menabur fitnah dan kekacauan di muka bumi, maka Imam Mahdi mengarahkan pasukannya ke kota Damaskus. Ketika pasukan Imam Mahdi menunggu Subuh di sebuah masjid yang terletak di sebelah timur kota Damaskus, tiba-tiba turunlah Nabi Isa a.s dihantar oleh dua malaikat di menara putih masjid tersebut. Maka Imam Mahdi mempersilakan Nabi Isa ’alihis-salaam untuk mengimami sholat Subuh, namun ditolak olehnya dan Nabi Isa ’alihis-salaam menyuruh Imam Mahdi untuk menjadi imam solat Subuh tersebut sedangkan Nabi Isa ’alihis-salaam menjadi makmum di belakangnya. Subhanallah.



Masjid yang dipercayai tempat turunnya Nabi Isa a.s


" ينزل عيسى بن مريم ، فيقول أميرهم المهدي : تعال صل بنا ،
فيقول : لا إن بعضهم أمير بعض ، تكرمة الله لهذه الأمة " .

"Turunlah Isa putra Maryam ’alihis-salaam. Berkata pemimpin mereka Al-Mahdi: "Mari pimpin solat kami." Berkata Isa ’alihis-salaam: "Tidak. Sesungguhnya sebahagian mereka pemimpin bagi yang lainnya sebagai penghormatan Allah bagi Umat ini." 
(Al Al-Bani dalam ”As-Salsalatu Ash-Shohihah”)

Saudaraku, marilah kita bersiap-siap akan kedatangan tanda-tanda Akhir Zaman ini. Tanda-tanda yang akan mengubah wajah dunia dari wajah yang penuh kezaliman menuju keadilan di bawah naungan Syariat Allah dan kepemimpinan Imam Mahdi beserta Nabiyullah Isa ’alihis-salaam.

Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam barisan pasukan Imam Mahdi yang akan memperoleh satu dari dua kebaikan: ’Isy Kariman (hidup mulia di bawah naungan Syariat Allah) au mut syahidan (atau Mati Syahid). Amin ya Rabb.

10 TANDA-TANDA ANAK ANDA BIJAK


10 tanda-tanda yang menunjukkan anak anda itu seorang yang bijak :- 

1. Mengekalkan Maklumat
Jika kanak-kanak biasa bagaikan ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’ apabila diajar. Anak anda boleh dikatakan bijak jika mereka mampu menyimpan maklumat dan boleh mengingatinya pada masa yang lain.
Minda kanak-kanak umpama span yang akan menyerap segala apa yang dilihat dan diajarkan kepadanya. Disebabkan itulah kita digalakkan mengajar anak-anak sejak dari usia kecil. Melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

2. Minat yang meluas
Minda anak yang cerdas mungkin menunjukkan minatnya terhadap pelbagai topik di sekelilingnya. Bulan ini mungkin dia minat Dinasour, bulan depan pula angkasa lepas, bulan berikut pula topik yang lain dan begitulah seterusnya.

3. Membaca dan Menulis di awal usia
Anak anda boleh dikatakan seorang yang bijak jika dia mampu membaca dan menulis di awal usia biar pun tidak melalui pengajaran yang formal.

4. Berbakat dalam seni muzik dan artistik
Kanak-kanak yang boleh memaparkan bakat luar biasa dalam muzik atau seni seringkali dianggap berbakat.

5. Menunjukkan Konsentrasi
Kanak-kanak biasa tidak diketahui tahap konsentrasinya biar pun dalam tempoh panjang, sebaliknya kanak-kanak yang bijak ini sentiasa menunjukkan konsentrasinya terhadap sesuatu.

6. Mempunyai ingatan yang baik
Sama seperti tanda No 1, sesetengah kanak-kanak boleh mengingati perkara-perkara yang mereka lakukan sewaktu mereka masih kecil.

7. Susun kata yang maju berbanding usia
Kanak-kanak yang bijak berbicara ketika kecil jika kita sering berbual dengannya menggunakan ayat dan perbendaharaan kata sepertimana orang dewasa, akan cepat menyerap dan memahami apa yang dibualkan orang yang lebih dewasa.
Misalnya anak-anak berusia 2 tahun akan berkata ‘Itu kucing’, sebaliknya anak-anak bijak ini akan berkata ‘Itu Kucing yang garang yang suka membuat bising di rumah kami’. Berbeza bukan?

8. Memberi perhatian yang terperinci
Kanak-kanak yang berbakat ini dapat mengingati dan peka dengan keadaan di sekelilingnya. Misalnya mampu untuk menyimpan barang permainannya di tempat ianya diambil. Atau menyedari jika sesuatu barang kesukaannya itu berubah kedudukan dan sebagainya.

9. Bertindak sebagai pengkritik dirinya
Kanak-kanak di usia kecil tidak terlalu bimbang apa yang berlaku terhadap dirinya mahu pun orang lain, asalkan dia dapat apa yang dimahukannya. Sebaliknya kanak-kanak yang bijak akan bersikap berlawanan dan mengambil berat apa yang berlaku terhadap orang lain, tetapi apa yang lebih penting adalah dirinya.

10. Memahami konsep yang rumit
Kanak-kanak yang cerdas berkemampuan untuk memahami sesuatu perkara yang rumit, melihat hubung kait antaranya, dan berfikir secara abstrak.
Mereka juga dapat memahaminya secara mendalam dan berfikir tentang jalan penyelesaiannya.

p/s – Berbanggalah dengan anak-anak anda. Semua kanak-kanak adalah bijak, terpulang kepada kita sebagai ibu bapa untuk mencorakkannya.

Penjawat Awam Yang Masih Berpolitik Akan Dikenakan Tindakan - Ali Hamsa


             

Tan Sri Dr Ali Hamsa

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang masih berpolitik akan dikenakan tindakan berdasarkan peraturan, pekeliling dan undang-undang yang termaktub di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata semua ketua jabatan diminta memantau dan mengambil tindakan atau melaporkan kepada JPA sekiranya masih terdapat penjawat awam yang masih berpolitik terutamanya di media sosial.
Katanya tempoh berpolitik sudah tamat sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 diketahui, dan kini tibalah masa untuk penjawat awam menjadi tonggak pentadbiran negara ke arah menjayakan agenda transformasi negara.
"Sekarang, masa kakitangan awam untuk bergerak ke hadapan dan meneruskan usaha-usaha agenda transformasi nasional dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Tahunan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) 2013 di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam yang meminta rakyat termasuk penjawat awam supaya tidak terbabit dalam politik berlebihan kerana menyebabkan masa terbuang untuk negara maju ke hadapan.
Ketua Setiausaha Negara berkata penjawat awam kini perlu berfikir ke hadapan, iaitu lebih produktif dalam mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber terhad, lebih cepat dalam membuat keputusan dan tepat dalam merangka dasar atau program demi kepentingan rakyat.
Katanya, penjawat awam juga perlu mempunyai integriti, kreatif and inovatif dalam menggunakan pelbagai pendekatan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menggunakan saluran media sosial dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar awam kerajaan.
Ditanya mengenai perkembangan rancangan mewujudkan Sistem Saraan Transformatif (SST) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia, Ali berkata proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan pada tahap pertama dijangka selesai menjelang akhir November ini.
"Pada bulan Julai pula, kita akan menyelesaikan enam skim perkhidmatan dan bakinya akan diselesaikan kemudian. Ini merupakan satu proses yang berterusan yang akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak," jelas beliau. -BERNAMA

Daging Kambing Baik Untuk Kesihatan Jantung



Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Entah mengapa ramai kalangan kita memilih menolak sajian daging kambing yang sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol dan darah tinggi yang kemudian dikatakan membawa kepada penyakit jantung.

Sedangkan pada masa kini, kambing menyediakan 63 peratus daripada bahan daging yang dimakan di seluruh dunia, termasuk menjadi sumber protein utama di kebanyakan negara Arab dan Afrika Utara, selain pemakanan penting di rantau Asia Tenggara, kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain.

Di Barat pula, daging kambing semakin mendapat publisiti meluas sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu, malah terdapat kajian mendapati ia lebih sesuai dimakan oleh penghidap masalah berkaitan jantung.

Kumpulan penyelidik Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama (Alabama Cooperative Extension System-ACES) daripada Universiti Alabama dan Universiti Auburn, misalnya, mengadakan program pendidikan awam yang mempromosi daging kambing sebagai makanan yang lebih sihat.

KOMPOSISI KHASIAT

Kajian yang dijalankan ACES berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa daging yang dihasilkan oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik.

Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.

Dengan menggunakan potongan daging seberat tiga auns atau 85 gram, didapati kambing hanya mempunyai 2.6 gram kandungan lemak berbanding lembu 7.9 gram lemak, kambing muda (lamb) (8.1 gram), khinzir (8.2 gram) dan ayam (6.3 gram).

Melihat daripada segi kalori pula, kambing mengandungi 122 kalori (kal), berbanding lembu (179 kal), kambing muda (175 kal), khinzir (180 kal) dan ayam (162 kal).

Selain itu, kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih tinggi berbanding daging jenis lain. Ini adalah baik untuk pemakanan manusia memandangkan lemak tak tepu membantu merendahkan risiko penyakit jantung dan strok.

Kebaikan lain yang menjadikan daging kambing sebagai sumber protein ideal ialah ia mengandungi semua jenis asid amino yang diperlukan tubuh dan kandungan zat besi yang tinggi dan mampu membantu penghidap anemia.

BAIK UNTUK JANTUNG

Kajian klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain.

Mereka mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula membantu mengurang keburukan itu dengan menaikkan paras kolestrol baik.

Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya menyebabkan serangan jantung atau strok.

Lantas penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging kambing boleh membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.

Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.

"Ini termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan menyebabkan daging kambing cepat liat, peraturan kedua pula ialah memasak daging dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor mereka.

SUSU BERKHASIAT

Semua kelebihan daging kambing daripada segi kesihatan itu diakui oleh penyelidik dari Jabatan Pertanian Universiti Babcock, Nigeria.

Malah, kumpulan penyelidik itu menekankan pentingnya nilai nutrisi kambing dalam aspek pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang dilaporkan menerusi artikel mereka yang diterbitkan dalam Jurnal Pertanian dan Kajihayat Amerika Utara.

Antara lain, artikel itu menyebut bahawa di Okinawa Jepun misalnya, ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan memakan daging kambing untuk menguatkan fizikal dan mengatasi keletihan.

Ia juga membincangkan betapa pentingnya susu kambing yang mempunyai komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak lebih kecil dan mudah dihadam berbanding susu lembu.

"Ciri ini membolehkan susu kambing digunakan untuk merawat masalah alergi pada susu lembu, menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat penting kepada bayi, orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi," tambah laporan itu.

Selain itu, mereka mendapati kandungan zat mineral susu kambing adalah lebih tinggi berbanding mamalia lain menjadikannya amat berguna untuk merawat penyakit anemia yang diakibatkan oleh kekurangan zat besi dan penyakit tulang rapuh selain dilaporkan berguna dalam rawatan kencing manis.

Artikel itu menjelaskan tentang kebaikan susu kambing untuk kesihatan kulit, khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti psoriasis, ek zema atau jerawat.

"Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun pembersih berpelembab berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit," kata laporan itu.

POTENSI PENTERNAKAN

Memandangkan terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan kebaikan daging serta susu kambing yang semakin diketahui ramai, maka tidak mustahil permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu terdekat.

Malaysia dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar kambing bagi memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan iklim negara yang panas dan lembab sepanjang tahun.

Penternakan kambing meskipun dimulai secara kecil-kecilan tetap mampu mencapai kejayaan yang tinggi memandangkan kambing matang dengan cepat dan membiak seawal usia lapan bulan.

Lagipun, pemakanan kambing tidak cerewet dan boleh dibiarkan bebas meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan kampung selain najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu.

Walaupun satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih sinonim dengan kaum India yang memang gemarkan sajian kambing terutamanya masalla, trend itu mula berubah kebelakangan ini.

Kini, semakin ramai pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah yang menjadikan kambing sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi permintaan untuk majlis akikah dan korban Hari Raya Aidiladha.

Tambahan pula, kerajaan telah banyak mengadakan pelbagai galakan untuk pengusaha muda membangunkan diri menjadi usahawan kambing yang berjaya sekaligus memajukan industri penternakan kambing untuk membantu menjana ekonomi kawasan luar bandar.

Ini sekaligus menggalakkan percambahan ladang penternakan daripada pelbagai baka dan hibrid kambing, menyediakan pelbagai peluang kerja kepada anak muda dan membantu menjana ekonomi luar bandar tanpa banyak risiko.

--BERNAMA

Dr Madinah KSU Kementerian Pendidikan, Dr Zaini Ujang KSU II



KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Madinah Mohamad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, berkuatkuasa Isnin ini.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Zaini Ujang pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha II kementerian yang sama, juga mulai Isnin, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan Jumaat.

Tempat Madinah akan diambil alih oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Rosli Mohamed mulai tarikh yang sama.

Madinah, 56, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 32 tahun.

Rosli, 55, yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pemasaran strategik dari University of Hull, United Kingdom dan Sarjana Petadbiran Perniagaan dari University of Leeds, United Kingdom, pula berkhidmat selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam.

Zaini, 48, yang berkhidmat lebih 23 tahun dalam perkhidmatan pengajian tinggi, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan alam sekitar dari Newcastle University, United Kingdom.

-- BERNAMA  

Sirul Azhar Mahu Mahkamah Rayuan Isytihar Perbicaraan Silap Oleh Mahkamah Tinggi



PUTRAJAYA, 3 Jun (Bernama) -- Bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Isnin memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi memohon pembebasannya, mendakwa wujud perbicaraan silap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Notis usul itu difailkan firma guaman The Chambers of Kamarul Hisham and Hasnal Rezua di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di sini dalam usaha untuk memasukkan alasan rayuan tambahan.

Dalam permohonan itu, bekas Koperal Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada "publisiti buruk" secara meluas semasa perbicaraan itu yang jelas mengelirukan dan prejudis terhadap dirinya, dengan itu menafikan dirinya perbicaraan adil.

Beliau memohon Mahkamah Rayuan mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai perbicaraan silap, sabitannya diketepikan dan beliau dibebaskan.

Sirul Azhar, 39, mendakwa publisiti buruk yang diterimanya telah mewujudkan kebarangkalian bahawa hakim mahkamah tinggi bersikap berat sebelah, menyebabkan sabitannya boleh dipertikaikan.

Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada publisiti buruk menerusi tiga akuan bersumpah, dua dibuat oleh penyiasat persendirian mendiang P. Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin.

Beliau berkata akuan bersumpah yang pertama oleh Balasubramaniam, dibuat selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 23 Jun, 2008, mengandungi perkara-perkara yang prejudis terhadap dirinya kerana perkara itu tidak didedahkan dalam keterangannya (Balasubramaniam) pada perbicaraan.

Katanya Balasubramaniam telah, pada 4 Julai, 2008, membuat satu lagi akuan bersumpah menyatakan beliau menarik balik akuan bersumpah yang pertama.

Sirul Azhar berkata akuan bersumpah itu telah dimuat naik di pelbagai laman web dan telah menjadi punca pelbagai spekulasi, perdebatan dan ulasan daripada orang awam, pengamal undang-undang dan pemimpin yang telah ditafsirkan sebagai mempersoalkan kesahihan dan ketulenan akuan bersumpah itu.

Katanya persoalan penting yang bermain di fikiran para pembaca yang mendapat akses kepada bahan itu mungkin ialah, "Apa yang mendorong perayu-perayu untuk membunuh mangsa" dan "Siapa yang memberi arahan supaya pembunuhan dilakukan oleh perayu-perayu".

Sirul Azhar berkata Raja Petra telah, pada 21 Jun, 2008, memuat naik akuan bersumpahnya di laman web Internet menyatakan tiga individu lain turut hadir semasa mangsa dibunuh, yang boleh ditafsirkan untuk membawa maksud bahawa beliau (Sirul Azhar) adalah pembunuhnya.

Beliau mendakwa Raja Petra juga telah memuat naik satu salinan kenyataan beramaran dipercayai olehnya (Sirul Azhar) menyatakan beliau (Sirul Azhar) telah mengaku membunuh wanita Mongolia itu.

Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Okt 2006 dan 1 pagi, 20 Okt 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman mati dijadual didengar Mahkamah Ryuan pada 10 Jun.

Peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin berkata salinan notis usul itu akan diserahkan kepada pihak pendakwaan.



-- BERNAMA

Ahad, 2 Jun 2013

KSN Ketuai Senarai 1,574 Penerima Darjah Kebesaran



KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengetuai senarai 1,574 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2013 sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Sabtu.

Beliau adalah penerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Turut dikurniakan PMN ialah pengasas dan presiden Limkokwing University of Creative Technology, Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing.

Seramai 45 individu lain dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran 'Tan Sri'.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Maarop, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Shukry Mohd Salleh.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Ab Aziz Kasim dan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Othman Abd Razak.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar turut dikurniakan PSM.

Penerima lain ialah Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani ibni Almarhum Sultan Badlishah, Presiden Persatuan Kebajikan Islam Sarawak (PERKIS) Datuk Seri Abang Abu Bakar Datu Bandar Abang Haji Mustapha.

Pengerusi Perkayuan Seng Liang (Pahang) Sdn Bhd Datuk Seri Lim Sing @ Lam Kam Sang, Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Global Ventures Holdings Berhad Datuk Sabri Ahmad, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Mohd Khamil Jamil.

Turut menerima PSM ialah Pengarah Eksekutif & Pengarah Urusan Kumpulan Eversendai Corporation Berhad Datuk Nathan a/l Elumalay, Ketua Pegawai Eksekutif Impressive Communications Sdn Bhd Datuk Wira Abd Halim Karim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SAPURA Datuk Seri Shahril Shamsuddin.

Penaung Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Datuk Chen Lok Loi, Pengerusi MMC Corporation Berhad Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan, Pengarah Urusan Kim Company Sdn Bhd Datuk Ong Gim Huat.

Penerima lain ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Group Datuk Mohd Bakke Salleh, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM) Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa.

Duta Jenama Malaysia yang juga Aktres Filem Antarabangsa Datuk Seri Michelle Yeoh, Pengerusi CP Energy & Services Sdn Bhd Datuk Tan Kean Soon, Pengerusi Mahsuri Ria Sdn Bhd Datuk Seri Safri Awang Zaidell, Pengarah Eksekutif Harbour-Link Group Berhad Datuk Seri Celestine Ujang anak Jilan.

Seri Paduka turut mengurniakan PSM kepada bekas Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang Jabatan Peguam Negara Datuk Seri Dr Visuvanathan Sinnadurai, Ahli Lembaga Pengarah Petra Energy Group Datuk Bustari Yusuf, Pengarah Urusan Kumpulan IRDK Land Sendirian Berhad Datuk Seri Dr Ramasamy a/l Muthusamy.

Pengerusi Frencken Group Limited Datuk Low Hock Peng, Pengarah Eksekutif Widetech (Malaysia) Berhad Datuk Cheng Joo Teik dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MKH Berhad Datuk Chen Kooi Chiew @ Cheng Ngi Chong.

Bekas Panglima Tentera Laut Laksamana (B) Datuk Mohd Ramly Abu Bakar dan bekas Panglima Tentera Udara Jen (B) Datuk Seri Suleiman Mahmud turut dikurniakan PSM.

Penerima PSM lain ialah bekas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid.

Selain itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Mohd Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak, Penasihat MCA Wilayah Persekutuan Datuk Tan Kim Hor.

Pemegang Amanah 1MCA Medical Foundation Datuk Lee Fook Long, Pengarah Urusan Kumpulan SEG International Berhad Datuk Seri Hii Chii Kok @ Hii Chee Kok, Bendahari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Yit Ming Yik @ Yek Min Ek dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Prof. Dr. Abdullah Md Zin. Selain itu, 59 penerima dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Mereka ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Madinah Mohamad, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Rahamat Bivi Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Datuk Dr Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Che Mohd Hashim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Othman Mahmood.

Turut dikurniakan PJN ialah Penasihat Khas (Hubungan Antarabangsa) kepada Perdana Menteri Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak, Timbalan Ketua Audit Negara Datuk Anwari Suri, Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Gulam Hussin Gulam Haniff.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Fadzil Mohd Khir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Datuk Osman Jamal@Jamar.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Profesor Dr Awang Sariyan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) Brig Jen Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin, Pengarah Eksekutif dan Ketua Bahagian Pelaburan Khazanah Nasional Berhad Ganendran Sarvananthan.

Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Sdn Bhd Franki a/l Anthony Dass, pereka fesyen antarabangsa Zang Toi, Pengarah Urusan Yeo Hiap Seng Berhad Tan Teow Choon, Presiden Persatuan Pemilik Ladang Malaysia Boon Weng Siew dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norminshah Sabirin.

Penerima PJN seterusnya ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Berhad Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC Holdings Sdn Bhd Hashim Wahir, Pengarah Urusan IRIS Corporation Berhad Datuk Tan Say Jim, Duta Jenama Malaysia/Pereka Kasut Antarabangsa Datuk Choo Yeang Keat (Jimmy Choo).

Pengarah Urusan JAKEL Trading Sdn Bhd Mohamed Faroz Mohamed Jakel dan Presiden Persatuan Keturunan Bee San Lim Malaysia Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim, Lim Ah Nge.

Pengarah LKC Venture Sdn Bhd Lim Kim Chong, Pengerusi Eksekutif Komconsult Sdn Bhd Awalan Abdul Aziz, Pengerusi Eksekutif Kumpulan PP Chin Hin Sdn Bhd Chiau Beng Teik, Pengarah Urusan Poh Huat Resources Holdings Sdn Bhd Chai Meng Kui, Panglima Markas 8 Briged, Markas Briged 8 Brig Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Panglima Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Bekas Panglima Bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Pertama (B) Ahmad Kamal Yahya, bekas Penasihat Pertahanan Malaysia di United Kingdom Brig Jeneral (B) Kamaruddin Mattan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Dr Abdul Razak Md Yusoff.

Bekas Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Tengah SAC (Bersara) Ishak Kasim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia Datuk Syed Ismail Syed Azizan.

Turut menerima PJN ialah Ketua Pergerakan Wanita Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datin C. Josephine Anne, Ketua Wanita Umno bahagian Pagoh Senator Noriah Mahat, Pengerusi MCA bahagian Pulai Low Teh Hian, Penasihat Perundangan Pusat Khidmat Barisan Nasional Bukit Gelugor Andrew Lim Tatt Keong, Setiausaha MCA Selangor Wong Koon Mun, Pemegang Amanah 1MCA Medical Foundation Chung Hon Cheong, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC R. Moorthy a/l Ramasamy dan Naib Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Yap Kau @ Yap Yeow Ho.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) William Tanyuh anak Nub, Speaker Negeri Parti Liberal Demokratik (LDP) Ang Chai Fah @ Ang Chai Wah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Wahbi Junaidi, Ahli Majlis Penasihat Parti Pertubuhan Pasokmomugun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Tuanku Balanggung, Timbalan Bendahari Agung UPKO Wong Thien Fook.

Ketua Wanita Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Chiew Yen Fong @ Chiew Yen Chew, Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Radin Malleh, Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Joseph Mauh ak Ikeh, Penasihat Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) Dr Devanand a/l C Mangharam, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Umno Perak Mohd Hassin @ Mohd Hashim Daud @ Mohd Daud, Ahli Parlimen Ledang Ir Hamim Samuri, Ketua Umno cawangan Jalan Jelawat, Ampang, Abdul Kadir P.A Moidutty dan Penasihat Undang-undang Umno Pusat Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Sementara itu, enam individu dikuniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Mereka ialah Pegawai Perubatan Peribadi Yang di-Pertuan Agong, Dr Mohamed Badrulnizam Long Bidin, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Profesor Dr Datuk Khairil Annas Jusoh dan Pakar Kardiologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Brig. Jen. Dr Mohd Norazmi Mohd Yasin.

Turut menerima PSD ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Datuk Norliza Rofli, Ketua Protokol, Jabatan Protokol Kementerian Luar Negeri Datuk Naimun Ashakli Mohammad dan Komander Pangkalan Udara Subang, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Brig. Jen. Romlee Yahaya.

Seramai 24 individu dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN), antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mat Ali Hassan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (HEPP) Universiti Sains Malaysia Prof Adnan Hussein dan Pengerusi Pusat Pakar P.D Wisma NKS Datuk Dr NKS Tharmaseelan a/l Nk Sinnadorai.

Bagi darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM), seramai 89 menerima anugerah tersebut antaranya ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Mohd Naziruddin Mohd Yunus, Timbalan Setiausaha (Penyelidikan) Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Harun Che Su dan Pakar Perunding Radiologi, Hospital Putrajaya Dr Fatimah Othman.

Seramai 434 individu dikurniakan darjah Ahli Mangku Negara (AMN) antaranya ialah Pengurus Unit Sumber Manusia Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Noor Fishah Osman dan atlet lompat galah negara Roslinda Samsu.

Sementara itu, penerima tunggal Panglima Gagah Berani ialah Sarjan Mejar Apot anak Saad (Bersara) manakala Pengurus Besar Projek Pembinaan Istana Negara Baharu Ir Asri Arjan dikurniakan Johan Setia Diraja.

Bagi penganugerahan darjah kebesaran lain, 273 orang menerima Kesatria Mangku Negara (KMN), sembilan Kesatria Setia Diraja (KSD), 615 Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 16 menerima Bentara Setia Diraja (BST).

-- BERNAMA