Cari Blog Ini

MAHUKAN YANG TERKINI? CLICK "LIKE".

Jumaat, 5 Julai 2013

Ku Li: Sistem pendidikan negara gagal


KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara harus diakui gagal dan tidak boleh dipertahankan lagi, jelas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Jelasnya, antara lain, sistem pendidikan negara gagal dalam penyepaduan budaya antara anggota masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa supaya saling dapat menghargai adat resam yang berbeza

Oleh itu, Ahli Parlimen paling lama berkhidmat itu mengesa satu tindakan yang ikhlas, berani dan radikal dilaksanakan segera untuk memulihkan sistem pendidikan negara.

“ Saya sedar urusan perubahan ini memerlukan masa yang lama, tetapi kita boleh mempercepatkan proses ini dengan belajar dan melihat kepada model yang sudah berjaya dan terbukti seperti yang berlaku di China, Korea Selatan dan Finland,” jelas Tengku Razaleigh.

“Kita juga gagal dalam mempersiapkan tenaga kerja mahir dan berketrampilan. Kurang lebih 20% graduan kita menganggur dan majikan, terutama dari kalangan syarikat swasta dan MNC lebih cenderung untuk memilih graduan yang dari luar sistem kita.” tambahnya.

Tengku Razaleigh berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal anjuran Teach For The Needs di Kuala Lumpur.

Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Bekas Naib Presiden UMNO itu juga turut mempersoalkan standard yang digunapakai sistem pendidikan negara yang dikatakan tidak menepati keperluan atau kelayakan minimum yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya dalam penilaian Programme for International Students Assessment (PISA) 2009, Malaysia diletakkan pada tangga yang ke 55 daripada 74 negara sebahagian besar pelajar kita yang berumur 15 tahun gagal memenuhi kelayakan minimum, dengan 60% daripadanya tidak memenuhi keperluan minimum untuk matematik, 44% dalam membaca dan 43% dalam sains.

Sementara “Trends in International Mathematics dan Science Study” (TIMSS) 2007, pula menunjukkan secara purata, 20% pelajar kita tidak menepati keperluan minimum dalam matematik dan sains.

“Anehnya, dapatan ini tidak selaras dengan pencapaian cemerlang peringkat nasional yang hampir setiap tahun dihebahkan secara besar-besaran.” jelasnya

“Apakah sistem penilaian kita rendah, tidak menepati “standard” dan tidak tepat sehingga kita cemerlang menurutnya tapi gagal berprestasi apabila berdepan dengan penilaian antarabangsa yang lebih konklusif?” tambah beliau.

Tengku Razaleigh turut menyelar sistem yang digunapakai di peringkat Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan yang sering memberi anugerah kepada Pengetua berdasarkan keputusan peperiksaan cemerlang sekolah mereka.

Jelasnya, pelaksanaan ini walaupun berniat baik boleh membawa kesan negatif apabila terdapatnya Pengetua yang terlalu ghairah untuk “menang” dan ini boleh mengakibatkan perkembangan yang tidak sihat.

“Sebagai contoh yang ekstrim, adalah tidak mustahil bagi seseorang pelajar lemah tidak diterima masuk ke sesebuah sekolah demi memastikan prestasi akademiknya tidak terjejas.” jelasnya.- ASTROAWANI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan