Cari Blog Ini

MAHUKAN YANG TERKINI? CLICK "LIKE".

Rabu, 24 Julai 2013

Najib Umum Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 Kepada Penjawat Awam



KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri juga mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di ibu negara, Rabu.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara guna membantu meringankan beban kewangan sebagai persiapan hari raya.

--BERNAMA

Rabu, 17 Julai 2013

Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam

PUTRAJAYA 17 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji kemungkinan mengumumkan khabar baik kepada penjawat awam terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri nanti.
Perdana Menteri yang ditanya pemberita mengenai perkara itu kelihatan senyum dan memberi jawapan ringkas bahawa kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan soal tersebut.
"Nanti, kita akan melihat perkara ini. Ada masa lagi," katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS ), Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan setengah kepada 1.5 juta penjawat awam di negara ini iaitu setengah bulan dipertimbangkan dibayar sebelum Aidilfitri.
Omar berkata, pemberian bonus itu mengurangkan beban penjawat awam dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa pula percaya Perdana Menteri, akan memutuskan isu pemberian bonus kepada penjawat awam
sempena pembentangan Bajet 2014 nanti. - UTUSAN ONLINE


Tiga Golongan Rakan Sekerja

1. Golongan Positif

Ciri-ciri
1. Yang Cemerlang
2. Bersikap Positif
3. Bersemangat
4. Dedikasi
5. Rajin
6. Saling membantu

Tindakan
1. Dekati dan dan damping mereka
2. Cari peluang untuk bergaul dengan mereka
3. Jadikan mereka sebagai mentor anda

2. Neutral

Ciri-ciri
1. Menyiapkan tugasan untuk mendapat gaji

Tindakan
1. Cedok pengalamn mereka. Jadikan sebagai rakan untuk berkongsi idea.

3. Negatif

Ciri-ciri
1. Jemu dengan tugas
2. Bersikap negatif
3. Pengamal 3C (Condemn, Complain, Critize)
4. Suka mengkritik
5. Suka melihat kesilapan orang lain.
6. Sering membantah atau tidak bersetuju, dengan pihak pentadbir atau sesama rakan sekerja.

Tindakan
1. Berhati-hati kerana mereka boleh meracuni kerjaya sendiri ataupun orang lain.


sumber : majalah Solusi. Bilangan 57/ms49

Rabu, 10 Julai 2013

Masalah Pertukaran Guru Perlu Beri Keutamaan Kepada Guru Lama



KUALA LUMPUR: Penubuhan jawatankuasa khas bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk menangani masalah pertukaran guru diharap dapat memberi keutamaan kepada guru-guru yang lama berkhidmat selain memberi keadilan sama rata.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata permohonan pertukaran guru akan menjadi sukar sekiranya Kementerian Pendidikan mengisi penempatan bagi guru-guru yang baru sahaja menamatkan pengajian sebelum penempatan itu diisi oleh guru yang memohon pertukaran.
"Sekiranya kementerian mengisi dulu guru-guru yang baru keluar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) ataupun universiti, ia akan jadi masalah kerana guru-guru yang hendak ditukarkan tidak dapat masuk.
"Jadi saya sarankan guru-guru baharu ini hendaklah ditempatkan selepas pertukaran dibuat kepada guru-guru yang sudah lama memohon," katanya.
Pada Isnin lepas, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata kementerian memandang serius isu berkenaan dan cuba menyelesaikannya dengan cara terbaik memandangkan permohonan pertukaran guru-guru mencecah sehingga 16,000 setahun sedangkan kekosongan hanya setakat 2,000 hinga 3,000 tempat.
Mohamed Sabri berkata jawatankuasa itu juga harus berfungsi dengan memberi keadilan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam agensi keselamatan seperti polis atau tentera tetapi juga dalam kalangan guru sesama guru yang turut sukar mendapatkan pertukaran.
"Ada guru yang ingin mengikut suami, tetapi mereka yang berkahwin dengan pegawai penting seperti polis dan tentera berpeluang untuk mengikut suami masing-masing kerana mereka perlu keluar dari kuaters, tetapi masalahnya di mana mereka akan ditempatkan," katanya.
Beliau juga menyarankan agar jawatankuasa itu turut dianggotai oleh persatuan dan kesatuan guru kerana mereka ini lebih memahami masalah yang dihadapi golongan guru.
Beliau berkata masalah pertukaran guru semakin kritikal dan dilihat sukar menemui jalan penyelesaian kerana kekosongan yang terhad di kebanyakan sekolah di negeri-negeri.
"Kami dapati banyak sekolah sudah penuh gurunya, kalau kita tinjau masalah di Semenanjung, permohonan pertukaran kritikal dan sukar diluluskan, tetapi di Sabah dan Sarawak mungkin ada ruang khususnya di kawasan pedalaman," katanya.
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula yang mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu berkata diharapkan mekanisme yang akan digunakan oleh jawatankuasa itu dapat menarik nafas lega golongan guru yang sekian lama memohon untuk ditukarkan tetapi sehingga kini belum diluluskan.
"Kami mahu guru rasa selesa, gembira dalam kehidupan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik, terpulang kepada jawatankuasa untuk tentukan mekanisme yang akan diguna pakai," katanya.
Alimuddin yang juga bekas ketua pengarah pelajaran berkata isu pertukaran merupakan suatu yang rumit kerana ia berdasarkan kepada dua keperluan iaitu keperluan sekolah untuk mendapatkan guru dan keperluan dari segi kekeluargaan. - BERNAMA

Jangan rosakkan tarawih dengan tazkirah -- Harussani



Jangan rosakkan tarawih dengan tazkirah -- Harussani
IPOH: Umat Islam yang akan menyambut Ramadan mulai esok dinasihatkan supaya jangan merosakkan solat tarawih dengan menganjurkan majlis tazkirah di antara solat sunat itu kerana ia boleh mengganggu kekhusyukan jemaah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam jangan terkeliru sehingga menganggap majlis tazkirah itu sebagai amalan wajib sehingga boleh merosakkan amalan yang sunat.

"Ada pihak yang mengatakan bahawa tazkirah lebih wajib daripada tarawih yang sunat. Tazkirah wajib pada masa-masanya; yang sunat ada masanya. Jangan kita membuang yang sunat kerana kononnya yang melaksanakan yang wajib sedangkan dalam itu kita merosakkan yang sunat dan merosakkan yang wajib," katanya di pejabatnya di sini, hari ini.

Harussani diminta mengulas amalan tazkirah yang dilaksanakan oleh banyak masjid di seluruh negara pada malam-malam Ramadan dan lazimnya dilakukan di antara solat tarawih.

Kerajaan negeri Pahang melalui Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad baru-baru ini mengeluarkan arahan melarang ceramah atau tazkirah semasa solat tarawih dan mana-mana masjid yang ingkar boleh dikenakan tindakan.

Alasannya, supaya solat tarawih tidak diganggu dengan penganjuran ceramah atau tazkirah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam reaksinya berkata keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri Pahang itu adalah berdasarkan perspektif negeri itu dan selaras bidang kuasa kerajaan negeri.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam pada itu menyifatkan langkah kerajaan negeri Pahang itu sebagai tidak wajar dan lebih sebagai satu tindakan politik serta bersedia memberikan khidmat bantuan guaman kepada penceramah yang terlibat sekiranya dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, Harussani turut mengingatkan umat Islam supaya berlumba-lumba untuk melakukan ibadah pada sepanjang Ramadan tetapi jangan bertelagah mengenai jumlah rakaat solat tarawih dan sebaiknya mengambil tradisi pertengahan iaitu 20 rakaat.

"Marilah kita berlumba-lumba. Kita jangan berlumba-lumba sampai 40 rakaat, jangan kita berlumba-lumba sampai 36 rakaat. Kita ambil tradisi pertengahan 20 rakaat dan jangan dirosakkan syariat tarawih ini dengan kita selangi perkara yang lain (iaitu tazkirah)," katanya.

Harussani turut mengingatkan bahawa bulan Ramadan merupakan tawaran istimewa Allah kepada umat Nabi Muhammad kerana ia menawarkan keampunan yang begitu luas.

Beliau juga menasihati umat Islam agar tidak menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan pesta makanan sebaliknya jadikanlah ia bulan untuk membentuk jiwa dan peribadi yang mulia dan diredhai Allah. - Astro Awani

Isnin, 8 Julai 2013

DUN K. Besut: Pas Patut Beri Kemenangan Percuma Kepada BN - Idris Jusoh



KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh menyarankan PAS menyerahkan sahaja kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut kepada Barisan Nasional (BN) tanpa perlu melalui pilihan raya kecil.

Ini kerana katanya, BN memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lepas.

"Pada saya, lebih baik PAS serah saja kerusi tersebut kepada BN kerana undi majoriti yang kita dapat pada PRU13 adalah tinggi, bukan setakat 300 sahaja.

"Nak menang bukan senang untuk PAS. Mereka perlu lebih kurang 1,200 undi untuk capai undi majoriti yang BN dapat dan biasanya orang tak ubah fikiran mereka kerana PRU13 baru saja berlalu dua bulan lepas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini Isnin.

Idris berkata kemenangan percuma itu juga sebagai menghormati bulan Ramadan, memandangkan pilihan raya kecil tersebut dijalankan ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

"Pada saya, PAS kini mempunyai masalah untuk mencari calon yang sesuai untuk bertanding. Ini kawasan saya. Lebih baik serahkan saja kerusi tersebut kepada BN lagi pun masa tu bulan puasa, tak perlu bersusah payah nak berkempen," katanya berseloroh.

Bagaimanapun katanya BN menyasarkan untuk meningkatkan undi majoriti daripada 2,434 undi pada PRU13 lepas kepada 4,000 pada pilihan raya kecil yang ditetapkan 24 Julai ini.

Mengenai laporan yang mendakwa guru diminta mengundi BN pada pilihan raya kecil itu, Idris yang juga Menteri Pendidikan Kedua berkata tidak ada pihak yang dipaksa mengundi mana-mana parti dan mereka bebas memilih untuk mengundi siapa sahaja.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong selepas penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada PRU13, A Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,343 undi, mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Kuala Besut diadakan pada 24 Julai manakala penamaan calon pada 12 Julai ini.

-- BERNAMA

Syarat Minimum SPM 7A Untuk Mohon Jadi Guru


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baru minimum 7A bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari semenanjung untuk memohon menceburi profesion perguruan bermula tahun ini.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kelonggaran minima 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.
Langkah itu bagi memartabatkan profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai profesion itu, katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini.
Ketika ini, syarat asas mendapat cemerlang sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang dimohon.
Sementara itu, Idris berkata, kementerian juga sedang mengkaji bagaimana untuk meringankan beban guru dalam pelaksanaan sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) selain daripada menambah bilangan pembantu guru seperti yang telah dilaksanakan di Kedah dan Sabah.
Katanya, antara perkara yang diambil kira ialah penyediaan laporan yang tidak perlu terlalu banyak perincian dalam membuat penilaian mereka. - BERNAMA

Ahad, 7 Julai 2013

Kementerian Kesihatan Tunggu Bukti Saintifik Sebelum Haramkan Sisha, Rokok Elektronik



SEREMBAN: Kementerian Kesihatan sedang mengumpul lebih banyak bukti saintifik sebelum mengambil keputusan untuk mengharamkan atau mengadakan peraturan tentang sisha dan rokok elektronik.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, sebuah jawatankuasateknikal yang dipengerusikan pengarah Institut Perubatan Respiratori Datuk DrAbdul Razak Muttalif akan membuat kajian tentang kesan dua produk itu terhadapkesihatan, sebelum mengambil tindakan lanjut mengenainya.
"Mengenai sisha, bukti menunjukkan ia berbahaya, mungkin lebih bahaya daripada merokok.
"Oleh itu, langkah awal kami ialah mengklasifikasikan sisha sebagai produkberasaskan tembakau. Semua undang-undang dan peraturan berkaitan penggunaan tembakau mungkin akan terpakai terhadapnya (sisha)," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Kolej Tafe di sini, Ahad.
Dr Subramaniam berkata bagi rokok elektronik pula, ada pihak berpendapatproduk itu kurang berbahaya daripada rokok dan boleh dijadikan langkah perantaraan untuk mengurangkan tabiat merokok.
Bagaimanapun, kata beliau, ada pula pihak yang mendakwa rokok elektronikboleh disalahguna dan oleh itu perlu diharamkan atau dikenakan peraturan.
"Oleh itu, kami akan buat keputusan berdasarkan bukti yang dikumpul jawatankuasa teknikal ini, sama ada hendak mengadakan peraturan mengenainya (sisha dan rokok elektronik) atau mengharamkannya terus," kata beliau. - BERNAMA

Hukum Menggunakan Facebook


fb                                                                                                                                                         Hukum Menggunakan Facebook:
Kaedah Usul Feqh :
“kerosakkan kecil dibolehkan untuk mendapatkan maslahah (kebaikkan) yang besar..
Dari kaedah ini ia menjawab status hukum penggunaan Facebook
Kita tidak menafikan dengan Facebook ini ia boleh mengundang mafsadah(kerosakan) seperti melalaikan,pendedahan aurat,namimah,membuka aib dan lain-lain lagi…
Namun kita melihat mafsadahnya lebih kecil berbanding maslahahnya(kebaikkan) yang lebih besar buat umat islam sedunia…
Samalah seperti menggunakan google dan yahoo..Padanya ada kebaikkan dan padanya juga ada keburukan atau kerosakan..Semuanya dihukumkan harus selagi mana digunakan untuk perkara-perkara yang dibenarkan oleh syarak..Ulama kiaskan seperti penggunaan pisau..Pisau jika digunakan untuk memotong buah,bawang,tali dan untuk potong kek hukumnya harus tapi kalau guna pisau untuk melukakan atau menikam orang maka hukumnya haram..Demikianlah juga dengan facebook..
Antara Kebaikkan Facebook:
Dengan Facebook kita boleh mendapat banyak ilmu dan maklumat.
Dengan Facebook kita boleh berdakwah dan berkongsi ilmu
Dengan Facebook kita dapat berhubung dengan ahli keluarga dan kenalan yang berada jauh.
Dengan facebook kita dapat bersilaturrahim.
Dengan Facebook kita dapat melihat dan mengenali negara-negara luar dari segi adat dan budaya mereka,tempat-tempat yang menarik dan lain-lain lagi.
Dengan Facebook kita boleh menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan.
Dengan Facebook kita boleh menjatuhkan kezaliman seperti mana yang berlaku di Mesir..Antara faktor kejayaan revolusi mesir adalah facebook.
Tapi facebook ni kan produk ciptaan yahudi…
Kita jawab…
Tidak ada halangan syarak menggunakan produk ciptaan Yahudi MELAINKAN terbukti keuntungannya disumbangkan kepda Yahudi Zionis laknatullah… Andaian semata-mata seperti yg digembar-gemburkan sebelum ini tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram…
Antara dalil keharusan bermuamalah dengan orang yahudi ialah :
أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Biarkan Mark Zucherberg sebagai pencipta facebook ini..Kita pula memperalat ciptaannya ini untuk menyampaikan ilmu,dakwah dan tarbiah Islam..Seperti mana dengan dunia..Jangan sesekali kita terpedaya dan lalai dengan dunia dan jangan pula kita terus meninggalkannya,tapi hendaklah kita memperalatkan dunia untuk mencapai akhirat.
Kata Imam Yusuf Qaradawi dalam kitabnya Fiqh Jihad :
Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan suatu jihad utama,sedang jihad itu adalah fardhu..
Dalil tambahan tentang keharusan menggunakan facebook adalah para ulama antarabangsa sendiri menggunakan facebook..
Wallahu a’lam..

Dakwaan Rogol Cemar Sukma, Serah Kepada Polis Siasat - Zolkples



Zolkples Embong.
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN), selaku penganjur temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16, akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes rogol seorang atlet yang dilaporkan berlaku semasa temasya itu, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zolkples Embong.
"Saya pun baru diberitahu mengenai perkara itu pagi ini. Mengikut laporan (sebuah akhbar tempatan), ia sudah menjadi kes polis, jadi kita serahkan kepada polis untuk lakukan siasatan.
"Kes seumpama itu pertama kali berlaku dalam sejarah temasya Sukma dan ia mencemarkan imej Sukma kali ini," kata Zolkples, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma 2013, pada sidang media di Pusat Media Utama Sukma, MSN Bukit Jalil di sini, Ahad.
Media melaporkan seorang atlet bola baling telah membuat laporan polis mendakwa dirogol sekumpulan atlet lelaki di Perkampungan Sukan Sukma 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lepas.
Akhbar pada Ahad melaporkan remaja berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej universiti itu.
Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan susulan itu, polis menahan tiga atlet semalam untuk membantu siasatan.
Zolkples berkata, pihaknya mendapat kerjasama polis dan UPM dalam memastikankawalan keselamatan terjamin di Perkampungan Sukan.
Beliau berkata, pegawai keselamatan hanya mengawal di persekitaran kawasan Perkampungan Sukan dan tidak melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik atlet.
"Kita mempunyai hampir 4,000 atlet di Perkampungan Sukan, tidak mungkin kitamemeriksa setiap bilik. Kita juga mengadakan pengasingan blok mengikut jantinabagi tujuan keselamatan," katanya. - BERNAMA

Jumaat, 5 Julai 2013

7 Bandar Bakal Tenggelam Di Malaysia Pada 2020


JOHOR BAHRU: Beberapa bandar di negara ini yang terletak di kawasan rendah, terutama berhampiran pantai berkemungkinan ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena paras air laut yang semakin meningkat akibat pemanasan global. Jika fenomena itu berterusan secara konsisten dan tiada langkah pencegahan dirangka dari awal, antara kawasan berisiko tinggi ditenggelami pada tahun 2020 kelak ialah Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang, Selangor dan Pekan.
Kemungkinan mengenai kejadian itu ditemui pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004. Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) universiti itu, berkata data paras air laut yang dianalisis Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, Dr Tan Lai Wai, mendapati sejak 2004 sehingga awal tahun ini, paras air laut negara meningkat secara purata 10 sentimeter (sm) setiap tahun.

Penjualan arak mungkin diharamkan di Indonesia


JAKARTA – Penjualan dan pengedaran arak di beberapa bahagian di Indonesia kemungkinan diharamkan selepas sebuah kumpulan radikal Islam memenangi kes di Mahkamah Agung, kata seorang pegawai semalam.
Walaupun Indonesia merupakan negara yang mempunyai penganut Islam paling ramai di dunia, penjualan minuman keras kepada sebilangan kecil yang meminumnya dan pelancong masih dibenarkan hingga kini.
Sejumlah pihak berkuasa tempatan yang mempunyai pengaruh radikal Islam pernah memperkenalkan undang-undang kecil melarang urus niaga minuman keras.
Namun, peraturan itu tidak pernah dikuatkuasakan ekoran dekri presiden pada tahun 1997 yang melarang pemerintah tempatan mengambil tindakan sendiri.
Jurucakap Mahkamah Agung, Ridwan Mansyur berkata, Barisan Pertahanan Islam (FPI) kini berjaya mengenepikan dekri itu dalam semakan kehakiman di Mahkamah Agung.
“Mahkamah Agung telah menerima semakan mahkamah yang difailkan oleh FPI kerana dekri presiden gagal membawa keamanan dan ketenteraman awam kepada masyarakat Indonesia,” kata Ridwan kepada agensi berita AFP.
Mahkamah mengeluarkan perintah tersebut pada pertengahan Jun lalu, namun pengumuman tersebut hanya dibuat secara terbuka sejak beberapa hari lepas.
FPI yang terkenal kerana membuat operasi serbuan di sejumlah bar dan kelab malam menyambut baik kemenangan itu sekali gus membenarkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan undang-undang berkenaan.
“Semua penganut Islam Indonesia sangat gembira. Pemerintah telah menyelamatkan generasi daripada kesan negatif alkohol,” kata pemimpin FPI cawangan Jakarta, Salim Alatas.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri Indonesia, Reydonnizar Moenek berkata, terdapat sejumlah pihak berkuasa tempatan telah melaksanakan undang-undang itu.
Akhbar Jakarta Post melaporkan, terdapat 22 pihak berkuasa tempatan termasuk di beberapa kawasan sekitar Jakarta telah mengeluarkan larangan itu. 
– AFP

5 Kesalahan Dr Mursi Yang Mesti Kita Tahu


Daktor Mursi
By:Ustaz Mohd Zawawi Yusoh
Presiden Mesir yang di pilih rakyat di gulingkan oleh tentera..
Antara kealahan Dr Mursi ialah:
1. Dia selalu solat berjemaah di masjid,hafal alQur’an,selalu tahajjud dan sabar terhadap segala caci maki.
2. Membuat kilang senjata sendiri sehingga tidak perlu lagi mengimport senjata-senjata dari Amerika.
3. Dr Mursi adalah menyokong perjuangan Palestin,Syria dan Myanmar.
4. Mengeluarkan Mesir dari kongkongan kuasa tentera dalam 40 hari,di mana Erdogan memerlukan bertahun-tahun untuk melakukan hal itu.
5. Berusaha mengembalikan harta yang dibawa lari ke luar negeri oleh Husni Mubarak dan kroni-kroninya..

10 Sebab Jepun Mencapai Kemajuan



jepun1. Di Jepun di ajar pada awal sekolah rendah sehingga darjah enam dengan satu matapelajaran yang dinamakann “Jalan kearah Akhlak” dimana pelajar mempelajari akhlak/etika dan cara berdepan dengan orang.
2. Tidak ada kegagalan/failure pada awal sekolah rendah sehingga ke peringkat tiga pertengahan, kerana objektifnya ialah mendidik dan menanamkan konsep dan pembentukan pribadi/watak, bukan sahaja pendidikan dan indoktrinasi(dictation).
3. Jepun walaupun salah satu Negara terkaya didunia, mereka tidak mempunyai orang gaji (servants), ibu dan bapa bertanggungjawab di rumah dan keatas anak-anak mereka.
4. Kanak-kanak Jepun membersihkan sekolah mereka setiap hari selama 20min bersama-sama guru mereka. Faktor ini membawa kearah kemunculan generasi Jepun yang sederhana dan minat kearah kebersihan.
5. Kanak-kanak disekolah akan membawa berus gigi yang telah di “disinfected”/sterilkan, dan mereka membersihkan gigi mereka disekolah setiap kali lepas makan bagi mengekalkan kesihatan pada usia yang muda.
6. Pengetua sekolah akan memakan makanan pelajarnya selama setengah jam bagi memastikan keselamatan mereka, kerana pengetua menganggap pelajar adalah masa depan Jepun yang perlu diberi perlindungan.
7. Pekerja pembersihan di Jepun digelar sebagai “Jurutera Kesihatan” yang gajinya sebanyak 5000 hingga 8000 USD sebulan, tertakluk kepada ujian bertulis dan lisan.

8. Di larangan mengunakan handphone didalam tren/keretapi, restoran dan tempat-tempat yang tertutup, dan dinamakan status ‘silent’ di handphone sebagai “akhlak/etika”
9. Jika anda pergi ke restauran buffet di Jepun, anda akan dapati bahawa setiap orang akan mengambil makanan dengan kadar yang di perlukan sahaja, dan tidak akan meninggalkan apa-apa makanan diatas pingan.
10. Kadar kelambatan keretapi/tren adalah sebanyak 7 saat sahaja dalam satu tahun, ini kerana mereka adalah orang yang tahu akan nilai masa, dan gemar kepada ketepatan saat dan minit.
source: عجائب و غرائب
Penterjemah : Hj Khairol Amin Mohd Salleh

Ku Li: Sistem pendidikan negara gagal


KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara harus diakui gagal dan tidak boleh dipertahankan lagi, jelas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Jelasnya, antara lain, sistem pendidikan negara gagal dalam penyepaduan budaya antara anggota masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa supaya saling dapat menghargai adat resam yang berbeza

Oleh itu, Ahli Parlimen paling lama berkhidmat itu mengesa satu tindakan yang ikhlas, berani dan radikal dilaksanakan segera untuk memulihkan sistem pendidikan negara.

“ Saya sedar urusan perubahan ini memerlukan masa yang lama, tetapi kita boleh mempercepatkan proses ini dengan belajar dan melihat kepada model yang sudah berjaya dan terbukti seperti yang berlaku di China, Korea Selatan dan Finland,” jelas Tengku Razaleigh.

“Kita juga gagal dalam mempersiapkan tenaga kerja mahir dan berketrampilan. Kurang lebih 20% graduan kita menganggur dan majikan, terutama dari kalangan syarikat swasta dan MNC lebih cenderung untuk memilih graduan yang dari luar sistem kita.” tambahnya.

Tengku Razaleigh berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal anjuran Teach For The Needs di Kuala Lumpur.

Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming.

Bekas Naib Presiden UMNO itu juga turut mempersoalkan standard yang digunapakai sistem pendidikan negara yang dikatakan tidak menepati keperluan atau kelayakan minimum yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya dalam penilaian Programme for International Students Assessment (PISA) 2009, Malaysia diletakkan pada tangga yang ke 55 daripada 74 negara sebahagian besar pelajar kita yang berumur 15 tahun gagal memenuhi kelayakan minimum, dengan 60% daripadanya tidak memenuhi keperluan minimum untuk matematik, 44% dalam membaca dan 43% dalam sains.

Sementara “Trends in International Mathematics dan Science Study” (TIMSS) 2007, pula menunjukkan secara purata, 20% pelajar kita tidak menepati keperluan minimum dalam matematik dan sains.

“Anehnya, dapatan ini tidak selaras dengan pencapaian cemerlang peringkat nasional yang hampir setiap tahun dihebahkan secara besar-besaran.” jelasnya

“Apakah sistem penilaian kita rendah, tidak menepati “standard” dan tidak tepat sehingga kita cemerlang menurutnya tapi gagal berprestasi apabila berdepan dengan penilaian antarabangsa yang lebih konklusif?” tambah beliau.

Tengku Razaleigh turut menyelar sistem yang digunapakai di peringkat Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan yang sering memberi anugerah kepada Pengetua berdasarkan keputusan peperiksaan cemerlang sekolah mereka.

Jelasnya, pelaksanaan ini walaupun berniat baik boleh membawa kesan negatif apabila terdapatnya Pengetua yang terlalu ghairah untuk “menang” dan ini boleh mengakibatkan perkembangan yang tidak sihat.

“Sebagai contoh yang ekstrim, adalah tidak mustahil bagi seseorang pelajar lemah tidak diterima masuk ke sesebuah sekolah demi memastikan prestasi akademiknya tidak terjejas.” jelasnya.- ASTROAWANI

P/Raya Kecil DUN Kuala Besut 24 Julai, Penamaan Calon 12 Julai - SPR


PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu ditetapkan pada 24 Julai, pengundian awal 20 Julai manakala tarikh penamaan calon ialah 12 Julai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, berkata daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku pertama, kedua, ketiga dan keempat tahun 2012 dan DPT suku pertama tahun 2013.

"Sembilan pusat mengundi akan dibuka, satu untuk pusat mengundi awal dan lapan bagi pengundian biasa," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil DUN Kuala Besut di sini Jumaat.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 apabila mengalahkan calon muslimah PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Abdul Aziz berkata daftar pemilih itu mengandungi 17,683 pemilih berdaftar terdiri dari 16,534 pemilih biasa, 1,134 anggota tentera dan pasangan, 14 polis dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata bagi pengundian biasa lapan sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 35 saluran tempat mengundi.

"Bagi pengundian awal, Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak dengan dua saluran akan digunakan sebagai pusat mengundi. Seramai 305 petugas pilihan raya akan dilantik," katanya.

Beliau berkata anggaran kos perbelanjaan bagi menjalankan pilihan raya kecil itu ialah RM760,000.

Pada pilihan raya umum lepas Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan.

Abdul Aziz berkata bagi maksud permohonan undi pos, permohonan boleh dibuat mulai Jumaat.

Tarikh tutup permohonan untuk warganegara Malaysia di luar negara ialah pada hari penamaan calon manakala bagi petugas pilihan raya dan petugas media ialah dua hari selepas penaman calon, katanya.

Beliau berkata pengundi dalam kawasan pilihan raya itu boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi di laman web SPR www.spr.gov.my atau menerusi SMS dengan menaip SPR jarak SEMAK jarak nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888, mulai 11 Julai.

Abdul Aziz berkata bagi memastikan pilihan raya kecil berjalan lancar, semua pihak diminta mematuhi arahan-arahan pihak polis termasuk semasa berkempen.

Ditanya mengenai sama ada boleh menggunakan masjid untuk berkempen, beliau berkata SPR tidak mempunyai kuasa kerana ia di bawah bidang kuasa negeri.

Satu pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya yang diketuai seorang pegawai penguatkuasa akan ditubuhkan bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, katanya.

-- BERNAMA