Setiap ibu bapa inginkan anak mereka cemerlang dalam hidup. Baik di dunia mahupun di akhirat. Akan tetapi kecemerlangan anak itu seringkali diukur melalui aspek akademiknya di sekolah. Keluhan demi keluhan akan keluar dari mulut ibu apabila anaknya tidak cemerlang di sekolah. Kadangkala ibu memberitahu jiran di depan anaknya.
“Anak saya memang lambat. Cikgu ajar dia banyak kali pun dia tak ingat. Ish, tak tahu lah apa nak jadi”
Apa perasaan anak ketika itu? Zahirnya muka anak seperti biasa, bak kata orang “blurr”. Akan tetapi siapa yang tahu perasaan di hatinya ketika itu. Cukuplah kita meletakkan diri kita di tempatnya untuk merasai apa yang dirasai anak. Ketika bos kita merendahkan kita di depan kita sendiri. Mesti sangat sedih kan?
Kali ini saya akan kongsikan dengan semua pembaca tentang satu buku yang akan membuka minda ibu bapa untuk bertindak dengan lebih bijak apabila menghadapi masalah dengan anak-anak. Seperti yang saya pernah kongsikan sebelum ini, buku ini bertajuk Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif karangan Dr Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad. Saya akan kongsikan topik demi topik yang terkandung dalam buku ini menggunakan olahan bahasa saya sendiri.
1. Jaga Pemakanan
Tahukah anda bahawa pemakanan boleh memberi kesan kepada tingkah laku anak? Menjaga pemakanan di sini bukan sahaja berkenaan dengan makanan yang berkhasiat, malah sumber makanan jauh lebih penting. Sumber rezeki yang haram seperti mencuri, menerima rasuah, penipuan dan sebaginya haruslah dielakkan.
Sumber rezeki yang halal itu adalah seperti:
- Bukan daripada sumber rasuah
- Bukan daripada sumber judi dan nombor ekor
- Bukan daripada mencuri dan menipu
- Bukan daripada sumber perniagaan yang haram seperti menjual dadah dan sebagainya
- Bukan daripada sumber menipu timbangan dalam urusan jual beli
- Tidak mencuri tulang apabila dibayar gaji bekerja 8 jam sehari
Selain punca rezeki ini, peliharalah juga pemakanan yang diberi kepada keluarga baik daripada segi kebersihannya, penyediaannya, kualitinya serta rasanya.
2. Betulkan Fokus Kita
Seringkali anak yang diajar oleh ibu tetapi masih tidak faham walaupun diulang 4-5 kali akan dimarahi.
“kenapa kamu ni, kan mak dah ajar tadi, dengar lah baik-baik”
Saya pasti bila pun masalah anak tidak akan selesai. Hal ini kerana apa yang kita fokuskan adalah pada anak. Akan tetapi, untuk menyelesaikan masalah ini, sepatutnya ibu bapa memberi fokus kepada punca masalah tersebut. Jika masalah tersebut datang daripada masalah tumpuan anak yang singkat, cubalah ubah cara mengajar anak. Jika masalahnya adalah anak tiada motivasi dengan keadaan sekeliling, ubahlah tempat belajar anak. Analoginya adala seperti bomba yang ingin memadamkan api. Para ahli bomba tidak fokus kepada api yang sedang merebak untuk menyembur air, akan tetapi mereka mencari punca api itu.
Selain memberi fokus kepada punca masalah anak, berikan fokus kepada diri sendiri. Fokus kepada diri sendiri bermakna kita bertanya soalan berikut:
a) “Apa yang boleh aku lakukan lagi bagi menjadikan anak aku cemerlang?”
b) “Apa yang belum aku lakukan selama ini?”
Bukannya
a) “Kenapa anak aku mesti jadi begini?”
b) “Kenapa anak aku tidak faham aku?”
c) “Kenapa anak aku ini lemah sangat?”
Kemudian berilah fokus kepada kelebihan dan kebolehan anak. Dengan cara ini, ibu bapa tidaklah perlu memikirkan masalah anak setiap masa sepanjang hidupnya. Kadangkala, apabila terlalu fokus kepada masalah anak, ibu bapa akan terlupa kepada kebolehannya.
3. Gunakan Pendekatan Emosi
Kesan emosi terhadap seseorang jauh lebih mendalam berbanding kata-kata. Golongan peniaga serta ajen insuranyang Berjaya memanipulasi emosi pelanggannya akan mendapat jualan yang lebih tinggi. Hal-hal yang paling kita ingat di sekolah dulu juga adalah berkenaan emosi.
Sebenarnya anak juga begitu. Mereka lebih terkesan dengan emosi daripada kata-kata. Apabila sesuatu keadaan berlaku dan disertai dengan kekuatan emosi kita, maka ia kan lebih terpahat di hati dan tertanam di minda anak.
Maka, apabila ibu atau bapa berdoa, kadangkala biarkan anak mendengar rintihan kita yang benar-benar ikhlas. Berdoalah dengan jelas dan menggunakan bahasa yang mudah difahami anak. Kelak ia akan menjadikan doa kita sebagai azimat dalam hidupnya.
4. Menjaga Kredebiliti
Fenomena biasa yang berlaku kepada hamper kesemua ibu bapa adalah anak lebih dengar apa yang cikgu arahkan berbanding apa yang ibunya arahkan. Sebenarnya, ibu bapa di rumah perlulah menjada aspek kredebiliti di hadapan anak sehingga menjadi model kepada anak seperti:
- Tidak menunjukkan kelemahan diri di hadapan anak
- Tunjukkan kehebatan diri
- Akui kesilapan dan minta maaf
- Menjadi contoh
- Mendampingi anak dalam semua perkara
- Cakap serupa bikin
- Berpegang pada janji
5. Kenali Anak Kita
Ibu bapa yang mendidik anak, ibu bapa yang membentuk pemikiran anak dan ibu bapa juga yang menentukan masa depan anak. Maka, ibu bapa perlu mengenali sikap, sifat, emosi dan pemikiran anak. Dengan itu, banyak masalah akan terungkai dan selesai.
Ingatlah bahawa setiap anak adalah unik. Mereka dilahirkan berbeza-beza. Dengan mengenali anak, insyaAllah ibu bapa akan mudah mendekati dan membentuk mereka menjadi anak yang berjaya. Kekurangan yang terdapat pada anak bukanlah bermakna anak sudah tiada lagi masa depan. Berikan tumpuan kepada kebolehannya dan gilap bakatnya.
Sekiranya anak tidak dapat memberi kejayaan dalam akademiknya, terimalah anak seadanya. Mereka adalah seorang anak yang juga seorang manusia. Manusia yang berjaya pernah menemui kegagalan. Dan kegagalan itu akan menjadi titik permulaan dalam mengejar kejayaannya.
Itulah serba sedikit tajuk yang dikupas dalam buku ini. Ia begitu bermanfaat dan boleh dijadikan bekalan dalam mendidik anak-anak. Hari-hari yang kita tempuhi semakin mencabar. Maka carilah bekal dunia dan bekal akhirat selagi kita mampu.
Wallahua’lam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan