Cari Blog Ini

MAHUKAN YANG TERKINI? CLICK "LIKE".

Khamis, 17 Januari 2013

Malaysia Negara ‘Paling Gemuk’ Di Asia Tenggara


PETALING JAYA: Malaysia merupakan negara paling gemuk di Asia Tenggara dengan kadar obesiti yang paling tinggi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
“Ini bukan gelaran yang cemerlang. Kita melebihi negara-negara Asean yang lain dan berada tempat keenam di seluruh Asia – membelakangi beberapa negara Timur Tengah,” katanya.
Memetik statistik daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, Liow berkata, 15.1 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas mengalami obesiti pada 2011.
“Ini adalah satu peningkatan 14 peratus daripada demografi yang sama pada tahun 2006,” katanya.
Turut dilaporkan adalah lebih 2.6 juta orang dewasa adalah golongan obes manakala lebih 477,000 kanak-kanak di bawah 18 tahun mempunyai berat badan berlebihan.
Liow berkata, penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, kanser dan masalah kardiovaskular turut meningkat secara mendadak di kalangan rakyat Malaysia.

Cuepacs Harap Cadangan Kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan Dilaksana


MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap cadangan kenaikan imbuhan tetap perumahan (ITP) penjawat awam dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat berikutan lonjakan harga dan sewa rumah.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata ITP penjawat awam bagi gred 1 hingga 40 sebanyak RM180 tidak lagi relevan, ketika ini.
"Imbuhan tetap perumahan ini dah lama tidak disemak, hari ini kita (Cuepacs)pergi mana-mana memang ia menjadi rintihan utama kerana tidak ada lagi sewa rumah berharga RM180," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) di Kem Terendak di sini, Khamis.
Beliau berkata Cuepacs telah membuat permohonan mengenai perkara itu sejak lima tahun lepas dengan mencadangkan imbuhan tetap perumahan diselaraskan kepada RM450.
Katanya jumlah tersebut juga sebenarnya tidak mencukupi namun ia boleh disifatkan sebagai subsidi oleh kerajaan dalam meringankan beban penjawat awam.
Dalam pada itu, Omar turut berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan penjawat awam daripada 4 peratus kepada 1 peratus.Katanya peningkatan harga rumah menyebabkan ramai penjawat awam tidak mampu memiliki rumah.
"Kalau kos rumah PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) berharga RM300,000 ke bawah, kadar faedah 4 peratus itu tinggi jika kumpulan pelaksana ini nak membuat pinjaman," katanya. - BERNAMA